Memperbetul
tujuan semata-mata kerana Allah S.W.T.
Sesuatu pekerjaan itu hanya menjadi
ibadah dan mendapat ganjaran pahala dari Allah S.W.T. apabila:
- diniatkan semata-mata untuk mematuhi
perintah Allah S.W.T.;
- caranya menepati syariat yang
ditetapkan;
- tidak berlaku sebarang penyelewengan;
dan
- ibadah wajib seperti sembahyang,
berpuasa, berzakat dan lain-lain tidak ditinggalkan.
Oleh itu, elakkan diri dari mengerjakan
haji dan umrah kerana sebab-sebab sosial, ekonomi, politik atau tujuan-tujuan lain.
Mendapatkan ilmu yang cukup
Setiap ibadah termasuk umrah yang
dikerjakan tanpa ilmu adalah sia-sia. Ini kerana kerja-kerja ibadah tidak boleh
dibuat secara ikut-ikutan sahaja. Selok belok pelaksanaan ibadah umrah perlu
dipelajari dan difahami supaya dapat dikerjakan dengan sempurna sewaktu di
Tanah Suci tanpa bergantung kepada orang lain.
Menggunakan sumber wang yang halal
Ibadah umrah adalah merupakan salah
satu persembahan kepada Allah S.W.T. Sama ada diterima atau sebaliknya, ia
bergantung kepada sejauh mana sempurnanya ibadat itu dilaksanakan dan sebersih
mana pula wang ringgit yang digunakan.
Pastikan wang ringgit yang
digunakan untuk menunaikan umrah (tambang menambang, makan minum,
penginapan dan lain-lain) malah yang digunakan untuk kehidupan seharian adalah
dari sumber yang halal lagi bersih dari sebarang penyelewengan atau penindasan.
Mata pencarian yang haram, selain dari berdosa, boleh menyebabkan
hilangnya keberkatan dalam kehidupan.
Menjaga kesihatan jasmani dan rohani
Pelaksanaan ibadah umrah memerlukan
kesihatan fizikal dan mental serta kestabilan emosi. Bakal jemaah hendaklah
menjaga kesihatan menerusi pemakanan yang baik dan seimbang serta memperbanyak
aktiviti riadah. Selain itu, jemaah hendaklah melatih diri supaya bersikap
positif dan bijak mengawal perasaan.
Menyempurnakan semua rukun Islam yang lain
Ibadah haji adalah rukun yang kelima
dan terakhir selepas mengucap dua kalimah syahadah mengerjakan sembahyang lima waktu, berpuasa di
bulan Ramadhan dan mengeluarkan zakat.
Bakal-bakal jemaah umrah perlu terlebih
dahulu mempunyai kefahaman yang sempurna bersabit tuntutan Syahadah,
sembahyang, puasa dan zakat serta melaksanakannya.
Memperbanyakkan amalan sedekah
Sesuatu yang boleh meringankan bebanan
orang lain (termasuk suami, isteri, ibubapa, saudara mara, sahabat handai,
faqir miskin, anak yatim dan sebagainya) sama ada dalam bentuk wang ringgit,
tenaga hatta senyuman atau perwatakan ceria adalah sedekah. Amalan sedekah
membantu menambah pahala, mengurangkan dosa dan membantu hubungan sesama
manusia.
Bakal jemaah digalakkan memperbanyakkan
sedekah sewaktu di Tanah Air dan juga di Tanah Suci nanti. Ia membahagiakan
pihak yang menerima dan turut membahagiakan pihak yang memberi. Sewaktu berada
di Tanah Suci pula, para jemaah hendaklah menggunakan sebaik-baiknya kesempatan
untuk memberi khidmat kepada mereka yang memerlukan.
Menunaikan sembahyang berjemaah
Matlamat menunaikan ibadah umrah ke
Tanah Suci Makkah antara lain ialah untuk memanfaatkan masa yang ada sebaik
mungkin untuk beribadah terutamanya di Masjidil Haram. Peluang berada di Tanah
Suci Makkah hendaklah digunakan sebaiknya untuk beribadah sebaik mungkin
seperti menunaikan solat berjemaah.
Menjauhi amalan-amalan syirik
Menyengutukan Allah adalah merupakan
salah satu dosa besar. Tidak selayaknya orang yang hendak menjadi tetamu Allah
membuat kerja-kerja syirik seperti beramal dengan ilmu sihir, bergantung hidup
kepada tangkal azimat dan sebagainya.
Selain itu, bakal-bakal jemaah
hendaklah menghindari sifat suka mengejar kebendaan dan kesenangan hidup
sehingga meremehkan soal halal dan haram, dosa dan pahala serta syurga dan
neraka.
Memperbaiki akhlak dan menghindari sifat-sifat mazmumah (tercela)
Tanah Suci Makkah adalah tempat orang
memperlihatkan peribadinya yang sebenar. Orang yang hendak menjadi tetamu Allah
S.W.T. hendaklah mempunyai adab yang baik sama ada dari segi perbuatan,
percakapan malah niat di hati.
Sifat-sifat buruk seperti hasad dengki,
sombong, takabbur, panas baran, suka mendedahkan aurat, suka bermegah-megah dan
lain-lain hendaklah dijauhi. Menurut maksud hadith, hasad dengki menghapuskan
amal kebaikan seseorang sepertimana api membakar hangus kayu api.
Tanah Suci Makkah juga adalah tempat
pertembungan umat Islam dari segenap pelusuk dunia. Sifat-sifat murni seperti
sabar, ikhlas, syukur, tolong-menolong, ramah dan sebagainya akan dapat
memudahkan interaksi sesama jemaah.
Membersihkan diri dari dosa
Sebelum berangkat ke Tanah suci bakal
jemaah hendaklah bertaubat dengan:
- meninggalkan serta merta perbuatan
yang telah menimbulkan dosa;
- berazam dengan sepenuh hati tidak
akan mengulangi perbuatan itu lagi;
- merasa kesal yang amat sangat di atas
perbuatan dosa itu; dan
- jika dosa itu ada kaitan dengan
manusia, perlu mendapatkan kemaafan dan pernyataan halal bagi kesalahan yang
dilakukan dan hak yang diambil dari manusia tersebut.
Berdoa
dan bertawakkal
Perancangan Allah S.W.T. mengatasi
segala perancangan makhluk-Nya. Segala persiapan yang telah dibuat tidak dapat
menjamin ibadah umrah dapat dilakukan dengan sempurna. Justeru, para jemaah
perlu banyak berdoa kepada Allah S.W.T., memohon keampunan dan pertolongan-Nya.
No comments:
Post a Comment